JABATAN LAUT SEMENANJUNG MALAYSIA
NOTIS PERKAPALAN SAUDAGAR
Nombor Notis : JL 4/1996
Notis Kepada Pemilik Kapal, Syarikat Perkapalan, Anak-anak Kapal dan Pihak-pihak Lain Yang Berkaitan
PENGUATKUASAAN STCW 1978 (PINDAAN 1995)
-
Konvensyen STCW 78 (Pindaan 95) akan mula berkuatkuasa pada 1 Februari 1997. Diantara kehendak-kehendak Konvensyen yang mesti
dipatuhi mulai 1 Februari 1997 adalah seperti berikut:
1.1. Regulation 1/2 - Certificates and endorsements.
Setiap pegawai kepal yang memegang sijil kecekapan dimestikan membawa Sijil Kecekapan dan Sijil Endosmen asal
masing-masing semasa berkhidmat di atas kapal;
Setiap pegawai kapal warganegara asing atau pegawai kapal warganegara Malaysia yang memegang sijil kecekapan laut
negara asing yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia yang berkhidmat di atas kapal Malaysia dimestikan memegang dokumen
endosan Sijil Permit Untuk Berkhidmat (Permit to Serve) yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia.
1.2. Regulation 1/9 - Medical Standard.
Setiap pegawai kepal diwajibkan memegang sijil kesihatan, termasuk standard penglihatan dan pendengaran seperti yang
ditetapkan oleh kerajaan Malaysia. Sijil kesihatan hendaklah dikeluarkan oleh pegawai kesihatan yang diiktiraf oleh
Kerajaan Malaysia.
1.3. Regulation 1/10 - Recognition of Certificates.
Sijil Kecekapan Laut yang dikeluarkan oleh negara yang belum menandatangani Konvensyen STCW 78 tidak akan diterima.
Pegawai kapal warganegara asing atau pegawai yang memegang sijil kecekapan keluaran negara asing yang diiktiraf oleh
Kerajaan Malaysia dibenar berkhidmat di atas kapal Malaysia untuk tempuh tidak melebehi 3 bulan tanpa memegang Sijil
Endosan; dengan syarat mempunyai bukti bahawa permohonan untuk mendapatkan Sijil Endosan telah dikemukakan kepada pihak
berkuasa.
1.4. Regulation 1/14 - Responsibilities of Companies.
Syarikat-syarikat perkapalan dipertanggungjawabkan untuk memastikan:
Setiap anak kapal memegang sijil mengikut kehendak Konvensyen dan peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia,
kapal dikendalikan mengikut kehendak Sijil Safe Manning yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia,
rekod dan data semua anak kapal mengenai perkhidmatan, latihan, standard kesihatan dan kecekapan melaksanakan
tugas yang diberi disimpan, dikemaskini dan boleh disediakan apabila diperlukan dengan mudah.
semua anak kapal sebelum ditugaskan di atas sesebuah kapal, diberi Kursus Pengenalan mengenai tugas-tugas mereka
serta mengenai susunatur kapal, peralatan kapal dan prosedur kapal yang berkaitan dengan tanggungjawab mereka atau
tugas diwaktu kecemasan.
bahawa kakitangan kapal boleh menggambil tindakan secara bersepadu diwaktu kecemasan dan dapat menjalankan tugas
yang perlu untuk menjamin keselamatan atau mengelak pencemaran
1.5. Regulation II/4 - Rating forming part of a navigational watch.
Anak kapal yang ditugaskan untuk menjalankan tugas jagaan (navigational watchkeeping) diwajibkan memegang sijil.
1.6. Regulation III/4 - Rating forming part of engineering watch.
Anak kapal yang ditugaskan untuk menjalankan tugas jagaan dalam bilik jentera diwajibkan memegang sijil.
1.7. Regulation V/1 - Rating serving on tankers.
Anak kapal (rating) yang berkhidmat di atas kapal tangki diajibkan memegang Sijil Kapal Tangki.
1.8. Regulation VI/I - Familiarisation, basic safety training and instruction for all seafares.
Sebelum ditugaskan di atas kapal:
semua pelaut diwajibkan diberi latihan dalam aspek teknik menyelamat diri (personal survial techniques) atau menerima
maklumat atau arahan secukupnya bagi membolahkan mereka bertindak wajar dimasa kecemasan.
semua kakitangan kapal yang bertanggungjawab ke atas keselamatan atau pencegahan pencemaran diwajibkan menjalani latihan
atau diberi maklumat secukupnya dalam teknik menyelamat diri, pencegahan serta melawan kebakaran, asas pertolongan cemas
dan tanggungjawab sosial.
1.9. Regulation VI/3 - Training in advanced fire fighting.
Semua kakitangan kapal yang dipertanggungjawab ke atas pengawalan operasi melawan kebakaran diwajibkan menjalani kursus
Latihan Melawan Kebakaran Peringkat Lanjutan.
1.10. Regulation VI/4 - medical first aid and medical care.
Kakitangan kapal yang ditugaskan untuk memberi pertolongan cemas atau perkhidmatan perubatan atas kapal diwajibkan
menjalani Kursus Pertolongan Cemas dan Perubahan Atas Kapal.
1.11. Regulation VIII/2 - Watchkeeping arrangement.
Jadual jagaan bagi pegawai-pegawai kapal perlu disediakan dan dipamirkan di tempat yang senang dilihat di atas kapal.
Jadual jagaan hendaklah diatur dengan memberi waktu rehat tidak kurang daripada 10 jam dalam 24 jam kepada
pegawai-pegawai sebelum memulakan tugas jagaan.
-
Selaras dengan penguatkuasaan Konvensi tersebut semua pemilik kapal, syarikat-syarikat Perkapalan, anak-anak kapal serta semua
pihak yang berkaitan dengan perusahaan perkapalan adalah dinasihati agar menggambil langkah-langkah wajar untuk memenuhi
kehendak-kehendak Konvensyen tersebut mulai sekarang untuk mengelakkan kesulitan keatas kapal masing-masing. Bagi tujuan itu,
Kerajaan Malaysia akan mengenakan syarat-syarat berikut:-
SERTA MERTA
2.1. Semua pemilik kapal hendaklah memberi maklumat atau mengeluarkan arahan-arahan sewajarnya kepada nakhoda-nakhoda kapal
berhubung dengan keperluan-keperluan tambahan yang terkandung di dalam Konvensyen STCW 78 (Pindaan 95) yang dimaksudkan.
2.2. Semua kakitangan kapal boleh bertutur dalam bahasa Malaysia atau Inggeris untuk membolehkan mereka memahami antara satu
sama lain.
2.3. Setiap pegawai yang berkhidmat di atas kapal Malaysia diwajibkan membawa Sijil Kecekapan Asal dan Sijil Endosmen Asal.
MULAI 1 JULAI 1996
2.4. Semua pegawai kapal Malaysia termasuk warganegara asing diwajibkan mempunyai Sijil Kesihatan yang dikeluarkan oleh Pengamal
Perubatan yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia. Semua pegawai diwajibkan memenuhi standard kesihatan termasuk tahap penglihatan
dan pendengaran seperti yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia. Butir-butir standard kesihatan dan format sijil kesihatan
adalah seperti yang diishtiharkan oleh Ketua Pengarah Laut melalui Notis Perkapalan.
2.5. Semua calun peperiksaan Sijil Kecekapan Laut (Dek dan Injin) diwajibkan memegang Sijil Kesihatan yang dikeluarkan oleh
Pengamal Perubatan yang diiktiraf serta memenuhi kehendak standard kesihatan termasuk Penglihatan dan Pendengaran seperti yang
ditetapkan oleh Kerajaan.
2.6. Semua calon peperiksaan Sijil Kecekapan Laut (Dek dan Injin) kecuali gred Helmsmen, diwajibkan memegang Sijil Proficiency
in Survival Craft yang diiktiraf.
MULAI 1 FEBRUARI 1997
2.7. Semua calon peperiksaan Sijil Kecekapan Laut bagi gred Nakhoda, Ketua Pegawai, Ketua Jurutera, Jurutera Kedua dan Pemandu
Injin Kelas Satu diwajibkan memegang Sijil Kursus Melawan Kebakaran Lanjutan (Advanced Fire Fighting) yang diiktiraf.
2.8. Semua pegawai kanan yang berkhidmat di atas kapal Malaysia (Nakhoda, Ketua Pegawai, Ketua Jurutera, Jurutera Kedua dan
Pemandu Injin Kelas Satu) termasuk pelaut warganegara asing, diwajibkan memegang sijil Kursus Melawan Kebakaran Lanjutan
(Advanced Fire Fighting) yang diiktiraf.
2.9. Pelaut asing yang memegang sijil kecekapan yang dikeluarkan oleh negara yang belum lagi menandatangani Konvensyen STCW
78 tidak akan dibenarkan berkhidmat di atas mana-mana kapal Malaysia.
2.10. Semua pegawai di atas kapal Malaysia termasuk pelaut warganegara asing dimestikan mempunyai bukti telah menjalani kursus
Personal Survival, Basic Fire Fighting, Basic First Aid dan Proficiency In Survival Craft.
2.11. Setiap anak kapal pangkat rendah (rating) yang berkhidmat diatas kapal tangki Malaysia diwajibkan memegang Sijil Endosmen
Kapal Tangki. Rating yang telah berkhidmat di atas kapal tangki tidak kurang daripada 1 tahun boleh memohon sijil endosmen kapal
tangki mulai sekarang. Rating yang tidak mempunyai perkhidmatan atas kapal tangki hendaklah menjalani kursus kapal tangki untuk
mendapat sijil.
2.12. Anak kapal pangkat rendah (rating) yang ditugaskan menjalan jagaan (watchkeeping) navigasi atau dalam bilik jentera
diwajibkan memegang Sijil Jagaan. Rating yang telah menjalankan tugas jagaan tidak kurang daripada 6 bulan boleh memohon untuk
mendapatkan sijil/endosmen jagaan mulai sekarang.
2.13. Pegawai kapal yang memegang sijil kecekepan keluaran negara asing akan hanya dibenarkan berkhidmat di atas kapal Malaysia
tidak lebih dari 3 bulan tanpa Sijil Endosmen (PTS). Kebenaran ini diberi dengan syarat tuan punya kapal mempunyai dokumen
sebagai bukti bahawa permohonan telah dikeluarkan kepada pihak berkuasa Malaysia untuk mendapatkan Sijil Endosmen.
2.14. Semua kapal-kapal Malaysia diwajibkan mempamer ditempat yang mudah dilihat di atas kapal Jadual Bertugas pegawai-pegawai
kapal. Pengusaha kapal juga mesti memastikan bahawa setiap pegawai kapal diberi masa rehat tidak kurang dari 10 jam dalam masa
setiap 24 jam.
-
Semua Sijil Kecekapan Laut Malaysia (Dek dan Injin) yang dikeluarkan pada atau sebelum 31 Mac, 1992 dikehendaki disah semula
(revalidate) sebelum 31 Mac, 1997 bagi membolehkan pemegang sijil berkhidmat di atas kapal Malaysia dan memegang jawatan yang
tercatat di dalam sijil. Sijil yang tidak disah semula tidak akan melayakkan pemegang sijil berkhidmat di atas kapal Malaysia
untuk jawatan yang tercatat di dalam sijil selepas tarikh tersebut. Semua pemegang sijil yang dimaksudkan hendaklah mengemukakan
permohonan untuk pengesahan semula sijil masing-masing mengikut syarat serta prosedur yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah Laut
dalam Notis Perkapalan.
-
Selain daripada perkara-perkara yang tersebut di atas, pemilik-pemilik kapal juga adalah dinasihatkan agar memenuhi serta
mematuhi kehendak-kehendak lain dalam Konvensyen untuk mengelakkan masalah Port State Control ke atas kapal-kapal mereka mulai
1 Februari 1997 nanti.
(HJ. GHAZALI B. ABU HASSAN)
KETUA PENGARAH LAUT
SEMENANJUNG MALAYSIA.
IBU PEJABAT LAUT
PELABUHAN KELANG
Tarikh : 26 April 1996